PENGENALAN
Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta
jenis penyatuan yang dipamerkan sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran
mereka.Ia merujuk kepada semua perhubungan sosial yang mengaitkan manusia.
Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains
kemasyarakatan.
Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat
berbeza. Dalam masyarakat ringkas atau biasa ia mungkin berdasarkan hubungan
kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan menyayangi. Bagi masyarakat yang
lebih kompleks pula, terdapat beberapa teori berkaitan faktor yang menyumbang
kepada perpaduan sosial ataupun masyarakat.
Malaysia pula ialah negara yang namanya harum di persada dunia kerana
kehebatan rakyatnya dalam mengekalkan perpaduan kaum yang berbilang-bilang
bangsa. Pada zaman dahulu, penjajah British telah membawa masuk kaum Cina dan
India untuk kepentingan mereka sendiri dalam usaha mengeksploitasi ekonomi yang
mewujudkan jurang sosial dan ekonomi yang amat besar antara ketiga-tiga kaum
terbesar di Tanah Melayu. Namun kini, masyarakat yang berbilang bangsa telah
berjaya mengasimilasikan budaya masing-masing untuk membentuk masyarakat
Malaysia yang bersatu teguh dan bersatu hati persis peribahasa bulat air kerana
pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
KEPENTINGAN PERPADUAN DI MALAYSIA
Kepentingan perpaduan ialah perpaduan dapat menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara yang merdeka. Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai
ranjau berduri yang dilalui oleh generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan.
Hasil perpaduan masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang berganding bahu
menuntut kemerdekaan telah membuka mata pihak Inggeris supaya memberikan
kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Implikasinya, masyarakat kini hidup harmoni
tanpa gangguan dan kongkongan penjajah. Perpaduan yang telah wujud kini adalah
warisan daripada warisan nenek moyang yang harus dikekalkan agar tak lapuk dek hujan,
tak lekang dek panas.Antara kepentingannya ialah:
1.Dapat Membangunkan
Ekonomi Negara
Kepentingan perpaduan ialah dapat
membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat
Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat
lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup
dengan harmoni di bawah satu bumbung. Selaras dengan itu, ekonomi negara akan
berkembang dengan kemasukan palancong asing. Masyarakat Malaysia juga dapat
berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Pelabur dari
luar negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu,
perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan
Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.
2.Dapat Meningkatkan Imej Negara
Perpaduan
kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia juga mampu meningkatkan imej negara di
mata dunia. Memang tidak dapat dinafikan bahawa
negara pada masa kini sudah berada di peta masyarakat antarabangsa
ekoran daripada usaha kerajaan yang berterusan membina negara yang disegani di
peringkat dunia. Kepimpinan yang ada pada mantan Perdana Menteri, Tun Dr.
Mahathir Mohamed menjadi perintis untuk meletakkan Malaysia sebaris dengan
negara-negara maju yang lain. Ketokohan yang ada pada beliau telah menjadikan
negara-negara dunia ketiga sebagai model dan orang yang boleh bersuara untuk
membela nasib mereka di pentas dunia. Selain kepimpinan negara, Malaysia juga
dikenali di pentas antarabangsa adalah kerana kestabilan masyarakat yang wujud
di negara kita. Sebagai buktinya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah
mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang ke-9 paling aman di dunia berdasarkan
kajian yang dilakukan oleh sebuah badan bebas yang berpengkalan di Amerika Syarikat. Hal ini sangat jelas
menunjukkan bahawa pengiktirafan sedemikian adalah kerana masyarakat Malaysia
hidup bersatu padu sehingga keadaan menjadi aman dan harmoni.
3.Dapat Menarik Pelancong Asing
Selain
itu, semangat perpaduan juga telah dapat menarik pelancong asing untuk melawat
negara kita. Dengan keunikan masyarakat majmuk yang hidup dalam keadaan
harmoni, para pelancong akan tertarik untuk mempelajari budaya rakyat Malaysia.
Hal ini demikian kerana, mereka akan lebih selamat dan selesa apabila berada di
negara ini walaupun Malaysia turut tergugat dengan kemunculan wabak influenza
H1N1 yang menjadi perbualan hangat negara-negara di dunia ini, namun industri
pelancongan tetap maju dan berkembang dari tahun ke tahun kerana adanya
perpaduan kaum. Timbalan Menteri Pelancongan ada menyatakan bahawa dengan
adanya layanan mesra yang diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pelancong
asing, industri pelancongan akan terus mendapat tempat yang tertinggi walaupun
agak berkurangan dengan masalah penularan wabak H1N1. Tidak dapat dinafikan
bahawa, rakyat Malaysia dapat berinteraksi dengan baik antara satu sama lain
walaupun berbeza agama dan bangsa. Sebagai contoh, di sekolah menengah, para
pelajar yang terdiri dengan pelbagai kaum dapat belajar dalam satu sekolah yang
sama. Seperti peribahasa Melayu ada menyatakan bahawa muafakat membawa berkat.
Oleh itu, jelaslah perpaduan kaum bukan sahaja dapat memupuk semangat patriotik
malah dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke negara kita.
Akhirnya,dapat menjamin keamanan Negara kerana pihak kerajaan sentiasa membuat anjakan paradigma demi memperkuat jalinan kemesraan rakyat dengan mengadakan banyak aktiviti pada peringkat taman-taman perumahan. Dengan langkah bestari itu, kita dapat memupuk perpaduan kaum rakyat Malaysia. Misalnya, sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Selain dapat mendengar rintihan hati rakyat, pemimpin turut dapat menjadi suri teladan sebagai agen perpaduan. Saya yakin, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.
USAHA-USAHA MEMPERKUKUH PERPADUAN DI MALAYSIA
Sejak 31 Ogos 1957, penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain , namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Oleh itu, pelbagai pihak perlu memegang pada kekuatan jata negara, yakni “Bersekutu Bertambah Mutu”untuk mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Perpaduan kaum di Malaysia seyogianya menjadi kebanggaan Negara kita.
Antara usaha-usahanya ialah mengadakan
aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan untuk memupuk perpaduan kaum
rakyat di Malaysia. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk
bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan. Melalui aktiviti kemasyarakatan
ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan
berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta.
Seterusnya, usaha-usaha memperkukuh perpaduan di Malaysia ialah mengamalkan amalan kunjung-mengunjung ke rumah rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Kebudayaan antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman dan membina masyarakat yang saling menghormati. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalinhubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh.
Akhirnya,usaha untuk memperkukuhkan perpaduan kaum adalah mewujudkan sekolah untuk semua kaum.Hal ini demikian kerana pelbagai kaum boleh belajar dalam satu sekolah yang sama.Contohnya,Sekolah Wawasan telah ditubuhkan oleh kerajaan.Sekiranya hal ini dilakukan pastilah akan memperkukuhkan perpaduan antara kaum.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, perpaduan merupakan anugerah yang tidak ternilai harganya. Banyak negara di dunia menghadapi konflik atau perang saudara kerana wujud prejudis antara masyarakat. Kita sering kali melihat atau mendengar melalui media massa sama ada media cetak atau media elektronik mengenai pertempuran yang berlaku sehingga mengorbankan banyak nyawa yang tidak berdosa seperti warga tua dan kanak-kanak. Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia kerana masyarakat kita saling menghormati antara satu sama lain. Oleh itu, saya menyeru supaya kekalkanlah perpaduan yang telah kita bina ini agar aspirasi kepimpinan negara untuk menjadi negara maju dapat direalisasikan.Selain itu,persefahaman dan sikap hormat-menghormati antara kaum juga menjadi pemangkin utama dalam pencetusan perpaduan kaum. Konklusinya,rakyat perlulah mempunyai semangat kekitaan agar rakyat tidak berpecah belah.Marilah kita bersama-sama bersinergi dalam mengekalkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan tidak menjadi seperti enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing.Jika semua rakyat bersatu padu dengan mengetepikan perbezaan,tentulah perpaduan dan pemuafakatan dapat dikecapi.
LAMPIRAN









No comments:
Post a Comment